Friday, July 12, 2013

8 TIPS MENGAWAL STRESS





Dalam musim pilihanraya sekarang semakin ramai yang stress. Calon-calon sudah semestinya stress kerana menunggukan hari pengundian, samada akan menjadi YB atau tidak dan pengundi juga stress tentang pilihan yang mana akan diundi pada 5 mei nanti.


Stress adalah satu keadaan dimana tubuh seseorang mengalami tekanan secara fizikal, emosional atau psikologikal. Dari sudut perubatan, stress adalah keadaan atau situasi yang yang memberi tekanan kepada sistem tubuh manusia.

Stress boleh berlaku akibat daripada tekanan fizikal seperti sakit atau kecederaan, tekanan psikologikal seperti takut, malu, risau, marah, kecewa dan kegembiraan yang berlebihan. Dalam zaman moden ini wang dan pekerjaan kita adalah punca stress yang utama. Suasana hidup yang sentiasa terburu-buru dan dengan cuaca panas serta kesesakan jalanraya adalah diantara punca stress bagi masyarakat di bandar-bandar besar.

Stress yang terkawal tidak akan mengancam kesihatan malahan ia amat penting sebagai satu motivasi untuk kita terus maju dalam kerjaya dan melaksanakan tugasan kita setiap hari. Stress yang melampau dan berlebihan setiap hari yang akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti darah tinggi, sakit jantung, degupan jantung tidak normal, kolesterol, kencing manis, kegemukan, strok, jangkitan kuman, kemurungan dan lain-lain lagi.

Terdapat beberapa tanda-tanda yang boleh kita kenalpasti samada kita dilanda masalah stress yang tidak terkawal. Diantaranya adalah seperti degupan jantung tidak menentu, rasa sesak nafas, rasa tidak selesa pada kawasan dada, pening dan rasa seperti ‘mabuk’, rasa kebas pada jari-jari, sakit belakang, sakit tengkuk, sakit pada kawasan belikat, lenguh-lenguh urat, sakit kepala berpanjangan, buang air tidak lawas, pedih ulu hati dan susah tidur malam.

Tanda-tanda psikoloji seperti mudah marah, cepat melenting, susah menumpukan perhatian pada kerja yang biasa kita lakukan, rasa lesu dan tidak bermaya, kerisauan yang berpanjangan, rasa lapar yang berpanjangan, banyak makan makanan yang ‘menenangkan hati’ (comfort food) seperti makanan manis, cokelat, kek dan sebagainya. Lain-lain tanda psikoloji adalah seperti kurang berminat dengan aktiviti yang biasanya diminati, memandu dengan laju dan melulu dan bagi perokok akan bertambah banyak menghisap rokok begitu juga bagi peminum arak akan lebih banyak minum arak.




Ada beberapa tips yang boleh saya berikan utnuk mengawal stress.

1. Makan dengan betul dan perlahan-lahan dengan tenang pada setiap kali waktu makan dan makanlah banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak tinggi dan makanan bergula tinggi. Minum susu dan kurangkan minuman seperti kopi dan teh.



2. Ambil suplemen tambahan seperti vitamin B kompleks, vitamin C, mineral, omega 3 dan anti oksidan yang secukupnya setiap hari.





3. Bersenam dan bergerak aktif setiap hari kerana tubuh yang aktif secara fizikal akan menghasilkan ‘endorfin’ yang boleh mengurangkan stress dan menaikkan mood.



4. Mendengar muzik yang kita suka. Ia berbeza mengikut individu dan latar belakang. Muzik yang mengingatkan kita kepada Allah dan Rasulnya akan menambahkan pahala disamping mengurangkan stress. Mendengan muzik juga menyebabkan endorfin dalam tubuh meningkat dan memberikan rasa tenang.



5. Menguruskan masa dengan baik dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu pekerjaan akan mengurangkan tahap stress. Membuat senarai semak perkara yang hendak dilakukan setiap hari boleh membantu bagi indiidu yang terlalu sibuk dan jadual yang ketat dan padat.



6. Membela haiwan kesayangan boleh membantu menurunkan stress apabila kita bermain dengan haiwan-haiwan ini seperti kucing , ikan , hamster dan sebagainya.





7. Berkongsi masalah dengan pasangan, rakan , keluarga dan sesiapa yang kita rasa selesa untuk berkongsi masalah boleh mengurangkan stress. Memendam rasa dengan masalah bersendirian akan menyebabkan masalah tidak dapat diselesaikan dan akan menyebabkan stress yang susah dikawal. Akhirnya ia boleh merosakkan kesihatan seseorang.



8. Menenangkan fikiran dengan beribadat secara khusyuk, berzikir, berdoa, bermeditasi dan sebagainya. Mengadu masalah dengan Allah SWT dan memohon pertolongan dengannya dengan beribadah dan berdoa adalah satu cara terbaik untuk kita mengawal stress dalam permasalahan seharian kita. Bersyukurlah kita kerana kita difardhukan solat lima kali sehari semalam. Dengan solat yang sempurna, insyaallah ebih mudah kita mengawal stress setiap hari. Mengingati Allah sudah pasti akan memberikan ketenangan yang sebenarnya, sebagaimana firman Allah dalam Al Quran:



“ Cukuplah dengan mengingati Allah, maka hati akan menjadi tenang”.



Insyaallah dengan mengawal stress dengan baik dengan beberapa tips yang saya telah berikan akan membantu kita mendapat kesihatan yang lebih baik. Kajian sains menunjukkan stress adalah diantara faktor risiko kepada pelbagai masalah kesihatan pada zaman sekarang. Dengan mengawal stress kita, Insyaallah, kita akan mendapat kesihatan yang lebih baik.



Wallahu A’lam



Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)

No comments: