Monday, January 27, 2014

Menjawab Persoalan mengenai Pemanis Gantian P3


Saya telah dihujani persoalan tentang pemanis gantian P3 Pemanis yang popular dipasaran. Bagi menjawab persoalan ini saya akan menjawab mengikut maklumat yang saya tahu mengenai produk ini.

Memandangkan produk ini sangat baru dalam pasaran, maklumat yang ada amat terhad dan saya tidak menjumpai laporan kajian mengenainya dalam Jurnal-jurnal perubatan yang popular.

Didalam artikel saya perkataan yang sepatutnya digunakan adalah " PEMANIS GANTIAN" bukannya Pemanis Tiruan. Oleh itu contohnya yang nyatakan dalam artikel saya adalah jenis-jenis Pemanis gantian.

P3 juga dikenali sebagai Nano Sweeta adalah pemanis gantian jenis 'Natural' atau Asli dan bukan sintetik.

Maksud sintetik yang saya gunakan dalam artikel saya adalah istilah secara 'harfiah' yang bermaksud produk ini dihasilkan dikilang dari tebu dan bukan lah terhasil secara semulajadi seperti 'Stevia' atau Madu.

Saya juga merujuk kepada Prof Muhammad Mubin Mat Nor seorang pakar biokimia yang telah membuat kajian terhadap produk P3 (Nano Sweeta)  ini dan ia mendapati tiadanya bahan asing didalamnya, oleh kerana itu ia adalah pemanis asli dan bukan sintetik.

Artikel tentang bahaya pemanis gantian ini telah saya tulis sebelum ini adalah tentang aspartame, sucralose, sorbitol dan maltodekstrin. Semua jenis pemanis gantian ini mempunyai kajian saintifik yang menunjukkan data yang berkonflik dan bertentangan. Ada juga kajian yang terbukti dari segi sains yang ianya merbahaya kepada kesihatan sebagaimana yang terdapat dalam artikel ini.

P3 adalah satu produk yang amat unik dan ianya tidak termasuk dalam pemanis gantian yang merbahaya kepada kesihatan. Saya mendapati P3 ini amat baik kerana rasanya amat manis seperti gula dan kandungan kalori untuk sebotol kecil P3 ini cuma 5kcal, oleh kerana setiap botol mengandungi 300 titik, maka setiap titik mengandungi hanya 5/300 kcal = 0.016 , iaitu sangat rendah dan hampir kepada 0 kalori.

Saya membuat pemerhatian sendiri dengan P3 iaitu apabila diambil dalam kuantiti yang sangat banyak (sehingga sebotol atau sehingga 5 sudu kristal P3 ) ia boleh menyebabkan najis menjadi cair dan apabila membuang air besar akan menyebabkan rasa cirit-birit. Memandangkan P3 hanya diambil beberapa titik sahaja, maka masalah cirit-birit ini tidak akan terjadi dengan pengambilan yang biasa. Sebagai seorang doktor saya perlu menasihatkan kepada pengguna P3 agar tidak berlebihan dalam mengambil P3 ini.

Fenomena ini cirit-birit ini juga berlaku apabila seseorang mengambil Vitamin C dalam kuantiti dos yang tinggi. Jika Vitamin C diambil sehingga 1000mg sehari ia tidak menyebabkan cirit-birit tetapi jika diambil sehingga 10,000mg sehari boleh menyebabkan masalah cirit-birit yang sementara, tetapi ianya tidaklah bahaya kepada kesihatan. Ini  tidak pula bermakna Vitamin C tidak baik kepada kesihatan.

Oleh kerana itu ia adalah produk yang mempunyai indeks glisemik 'kosong' dan ini adalah sesuatu yang amat baik untuk pesakit kencing manis (Diabetis) dan orang yang ada masalah kegemukan akibat sindrom metabolik yang berpunca dari pengambilan karbohidrat berlebihan seperti gula.

Kajian klinikal akan dijalankan untuk mengkaji secara saintifik dan lebih mendalam lagi tentang P3 dan kebaikannya kepada pesakit diabetis oleh Prof Muhammad Mubin tidak lama lagi. Saya juga berminat untuk turut serta dalam kajian tersebut. Dengan kajian ini maka fakta sains tentang P3 akan lebih mantap dan dipercayai dari segi saintifik.

Saya berharap jawapan saya akan memberikan kelegaan kepada pengguna P3 dan saya juga adalah pengguna P3 sejak lebih enam bulan.

Dalam blog ini saya letakkan artikel yang lengkap yang disiarkan dalam Harian Metro harini (27 Jan 2014).

Saya akan menulis sambungan artikel tentang Pemanis Gantian Asli pada minggu depan.

Wassalam

Dr Norman

Fahami Bahaya Pemanis Gantian




Dalam artikel saya sebelum ini, saya banyak menulis tentang bahaya gula dan fruktosa kepada kesihatan. Ramai pembaca yang bertanya kepada saya tentang pemanis gantian yang manakah yang terbaik untuk menggantikan gula. Disini saya akan terangkan serba sedikit tentang pelbagai pemanis gantian yang berada dipasaran dan kesannya kepada kesihatan.
Pemanis gantian di cipta sebagai satu alternative kepada sesiapa yang inginkan rasa manis tetapi tidak mahukan kalori yang berlebihan daripada gula biasa. Ia banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang di promosikan sebagai rendah kalori atau ‘diet’ atau ‘tiada gula’ yag sepatutnya lebih baik untuk kesihatan. Pemanis gantian ini mempunyai rasa yang manis tetapi  mempunyai kalori yang rendah, oleh itu secara umumnya ia akan di kaitkan sebagai alternatif yang baik untuk menurunkan berat badan dan membantu pesakit kencing manis mengawal paras gula dalam darah. Beberapa  contoh pemanis gantian yang popular dipasaran adalah saccharin, maltodekstrin, sorbitol, aspartame, sucralose dan P3 (Nano Sweeta) .
Terdapat kajian mendapati pengambilan beberapa jenis pemanis gantian ini mempunyai beberapa risiko kesihatan jika diambil untuk jangkamasa panjang.
Saccharin adalah diantara pemanis gantian yang telah lama berada dipasaran dan ianya dipanggil sebagai ‘ibu gula’ kerana rasanya amat manis. Ia dijumpai sejak tahun 1879 dan ianya banyak digunakan pada masa dahulu dan mempunyai rasa pahit sedikit apabila ditelan (bitter after taste). Ianya banyak digunakan dalam jeruk buah-buahan. Sekarang ianya tidak lagi digunakan secara meluas kerana terdapat kajian mendapati ianya boleh menyebabkan kanser pundi kencing. Terdapat kajian terbaru yang menyangkal fakta ini dan menyatakan ianya selamat untuk kegunaan manusia. Tetapi reputasi saccharin masih lagi tidak dapat dipulihkan dan ianya masih tidak popular sekarang kerana terdapat banyak lagi pemanis tiruan yang lain dipasaran.
Maltodekstrin atau High Fructose Corn Syrup adalah pemanis gantian yan dibuat dari jagung. Ia mempunyai indeks glisemik yang sangat tinggi. Ianya digunakan secara meluas dalam industri pemakanan sekarang dan ianya juga mempunyai rasa yang sangat manis. Ia juga mempunyai nilai indeks glisemik yang sangat tinggi dan menyebabkan risiko kesihatan yang tinggi. Kajian terbaru mendapati maltodekstrin boleh menyebabkan masalah kencing manis, sakit jantung, kegemukan dan hati berlemak (fatty liver). Pengambilan maltodekstrin selalunya tidak kita sedari kerana ianya tidak dilabel sebagai gula atau pemanis gantian tetapi dinyatakan sebagai pemekat atau 'fillers'.
Sorbitol atau mannitol pula adalah sejenis pemanis gantian yang dipanggil sebagai gula alkohol atau mannitol. Ia banyak digunakan dalam gula-gula getah dan dilabel sebagai ‘no sugar’ atau ‘tanpa gula’. Sorbitol boleh menyebabkan masalah gastrik dan juga gangguan usus serta cirit-birit jika diambil secara berlebihan. Terdapat sejenis lagi pemanis dari jenis yang sama yang dipanggil ‘xylitol’ yang mempunyai rasa yang manis. Xylitol banyak digunakan dalam ubat gigi dan juga gula-gula getah kerana terdapat kajian menunjukkan ianya boleh mencegah kerosakan gigi dan gigi berlubang (dental carries).
Aspartame adalah pemanis gantian yang amat popular sekarang. Ianya banyak digunakan sebagai pemanis gantian kepada gula sebagai alternatif yang mempunyai kalori yang lebih rendah. Ia telah digunakan sejak 30 tahun dahulu dan banyak terdapat dalam yogurt, minuman bergas, sachet pemanis gantian dan gula-gula getah. Terdapat dakwaan yang menyatakan aspartame boleh meningkatkan risiko kanser, tumor otak, sakit Parkinson, sawan, mudah lupa, kencing manis dan fibromyalgia.
Dalam kajian yang dinamakan Nurses Health Study dan Health Professional Follow up Study menunjukkan pengambilan aspartame meningkatkan risiko kanser darah jenis Hodgkin lymphoma dan multiple myeloma dikalangan orang lelaki. Terdapat kontroversi dalam kajian saintifik yang dilakukan kerana terdapat pula kajian- kajian yang lain pula menunjukkan tiada kaitan diantara pengambilan aspartame dengan kanser.
Pengambilan aspartame secara berlebihan dilaporkan dalam satu kajian boleh meningkatkan tekanan oksidatif kepada otak dan mengurangkan bekalan glukosa kepada otak. Aspartame juga mengurangkan kadar bahan neurotransmitter (serotonin, noradrenaline dan dopamin)  dalam otak. Ia akan menyebabkan masalah gangguan fungsi memori  otak dan menjadikan seseorang cepat lupa. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa kadar purata pengambilan aspartame di USA dan Eropah adalah jauh lebih rendah dari kadar yang dicadangkan iaitu 40-50mg/kg/sehari.
Untuk lebih selamat, maka dicadangkan kita tidak mengamalkan aspartame setiap hari kerana terdapat pelbagai data kajian yang berkonflik tentang tahap keselamatan aspartame.
Sukralos (Sucralose) adalah pemanis gantian yang dihasilkan daripada tebu yang dinyahaslikan dengan menambahkan molekul klorin ke dalam struktur molekul sukrosa (gula pasir). Proses ini menimbulkan kontroversi kerana klorin didakwa boleh meningkatkan risiko kanser. Kadar yang dibenarkan pengambilan sucralose adalah 5mg/kg. Terdapat kajian yang dijalankan selama 12 minggu menunjukkan beberapa  kesan sampingan sukralos iaitu ia mengganggu penyerapan ubat-ubatan yang dimakan kerana ia menghalang enzim-enzim penyerapan dalam usus, disamping itu ia menyebabkan masalah cirit-birit dan mengurangkan jumlah bakteria baik dalam usus. Kajian ini juga disangkal oleh satu kajian lain yang menunjukkan sukralos tidak mempunyai kesan sampingan seperti yang didakwa. Oleh kerana itu ianya masih dijual dipasaran. Sebagai pengguna pilihan adalah ditangan kita samada untuk menggunakan sukralose sebagai pemanis tiruan dalam pemakanan seharian kita.
Terdapat sejenis pemanis gantian asli yang terbaru berada dipasaran yang dipanggil sebagai P3 atau Nano Sweeta. Ia dihasilkan dari ekstrak tebu secara proses nano teknoloji. Ia sangat manis dan rasanya seperti gula biasa. Ia juga tidak mengandungi kalori dan mempunyai indeks glisemik kosong. Ia boleh digunakan sebagai pengganti gula dalam minuman dan masakan. Walaubagaimanapun pengambilan yang berlebihan akan menyebabkan sedikit masalah cirit-birit. Biasanya ia diambil hanya ‘setitik’ bersamaan dengan kemanisan satu sudu gula dan amat mudah digunakan setiap hari dan ini tidak akan menyebabkan masalah cirit birit. Ia juga dijual dalam bentuk kristal halus seperti gula pasir dan boleh digunakan untuk membuat kek, kuih dan biskut. Ia adalah lebih sihat berbanding gula biasa dan boleh digunakan oleh pesakit kencing manis untuk mengawal pengambilan gula dan membantu menurunkan berat badan.
Utamakanlah kesihatan dalam pengambilan pemanis gantian yang selamat dan sihat sebagai ganti gula yang boleh memudaratkan kesihatan anda.

Jika anda boleh mengamalkan minuman teh atau kopi tanpa gula itu adalah lebih baik untuk kesihatan anda.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE



BAHAYA FRUKTOSA PADA KESIHATAN




Adakah anda mengalami masalah darah tinggi, kolesterol tinggi, perut buncit gout dan kencing manis. Ini mungkin berpunca daripada pengambilan fruktosa yang berlebihan dalam pemakanan seharian kita tanpa kita sedari.
Fruktosa adalah sejenis gula yang terdapat dalam buah-buahan dan juga tebu. Fruktosa yang dimakan dalam buah-buahan tidaklah berisiko tinggi kepada kesihatan kerana ianya diserap secara beransur-ansur dan diproses dalam hati secara perlahan-lahan disebabkan kandungan serat yang tinggi. Buah-buahan juga mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah. Terdapat juga beberapa jenis buah-buahan yang mempunyai kandungan fruktosa yang lebih tinggi tetapi kandungan seratnya rendah seperti rambutan, anggur, durian dan sebagainya. Buah-buahan yang mempunyai serat yang lebih tinggi dan fruktosa yang lebih rendah seperti buah jambu batu, epal, pear, mangga muda dan lain-lain lagi.

Industri pemakanan menggunakan fruktosa yang banyak dalam hampir semua makanan proses yang manis. Fruktosa digunakan dalam pelbagai makanan yang ada dipasaran sekarang iaitu gula pasir dan maltodekstrin (high fructose corn syrup). Ianya selalu diambil secara berlebihan tanpa kita sedari kerana ianya diletakkan dalam kebanyakan makanan dan minuman proses yang dijual dipasaran sekarang. Cuba kita baca pada label yang ada pada bungkusan pelbagai jenis makanan dan minuman proses dipasaran, sudah pasti kita akan berjumpa dengan istilah maltodekstrin atau high fructose corn syrup atau fructose sahaja.
Gula pasir yang di proses daripada tebu mempunyai nisbah glucosa dan fruktosa yang sama banyak iaitu 50%. Untuk maltodekstrin nisbah fruktosanya adalah 60% dan glukosanya 40%. Disebabkan kandungan fruktosa yang lebih ini maka maltodekstrin adalah 1.5 kali lebih manis dari gula pasir, oleh kerana itu ianya banyak digunakan dalam pelbagai jenis makanan atau minuman sebagai pemanis.
Hidup dalam zaman moden sekarang kebanyakan kita lebih mudah mengambil makanan dan minuman segera yang berlambak-lambak dipasaran sekarang. Kita makan atau minum atas dasar ‘ambil mudah’ maksudnya apa yang senang kita perolehi dalam waktu yang singkat tanpa kita bersusah payah menyediakan makanan atau minuman tersebut. Jika kita terlalu banyak makan atau minum makanan atau minuman dari jenis ini , maka kita akan mengambil fruktosa secara berebihan tanpa kita sedari. Seiring dengan kemajuan sesuatu negara, berlaku perubahan corak pemakanan dimana ramai yang mengambil makanan segera yang tinggi dengan gula atau maltodekstrin. Di USA berlaku peningkatan sehingga 1000% dari tahun 1970 hingga tahun 1990 penggunaan maltodekstrin dalam makanan. Di Malaysia tidak kurang impaknya sejak negara kita semakin maju dan semakin ramai rakyat kita yang kaya dan lebih ramai surirumah yang berkerja.
Kajian menunjukkan pengambilan fruktosa berlebihan adalah punca kepada masalah berat badan berlebihan, perut buncit, rintangan insulin, kolesterol tinggi dan darah tinggi yang secara kolektifnya dipanggil sebagai sindrom metabolik atau sindrom X. Sindrom metabolik ini meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga 20% lebih tinggi dari populasi biasa. Pemakanan yang tinggi dengan fruktosa akan menyebabkan selera bertambah dan menjadi punca kepada masalah obesiti dan berlebihan berat badan.
Masalah darah tinggi (hypertension) boleh disebabkan pengambilan fruktosa yang berlebihan. Dalam satu laporan kajian yang diterbitkan jurnal perubatan Hypertension pada tahun 2011 menunjukkan bahawa pengambilan secara berlebihan fruktosa dalam tempoh dua minggu sahaja meningkatkan tekanan darah tinggi 7 mata untuk sistolik dan 5 mata untuk diastolik. Kajian juga mendapati sekali pengambilan minuman ringan yang kaya dengan fruktosa akan meningkatkan tekanan darah sebanyak 1.6 mata sistolik dan 0.8 mata diastolik. Fakta ini jelas menunjukkan kesan keburukan fruktosa kepada tekanan darah seseorang lebih teruk dari pengambilan garam. Masalahnya kebanyakan dari kita tidak menyedari fakta ini dan lebih takutkan garam dalam makanan.
Menurut Dr Robert Lustig yang merupakan seorang pakar metabolisma dari University of California menggelarkan fruktosa sebagai ‘toksin manis’ kerana fruktosa berlebihan mengakibatkan masalah hati berlemak (fatty liver), fruktosa menyebabkan selera bertambah, fruktosa mengakibatkan peningkat proses glycation yang menghasilkan AGE (advance glycation end product). Kajian mendapati punca kepada masalah hati berlemak atau Non Alcoholic Fatty Liver Disease adalah berpunca daripada pengambilan fruktosa yang berlebihan. Ini adalah kerana hati menukarkan fruktosa kepada lemak dengan cepat didalam hati dan ia akan berkumpul didalam hati disamping itu berlaku juga peningkatan paras kolesterol LDL yang merbahaya kepada kesihatan jantung.
Fruktosa yang berlebihan juga menyebabkan peningkatan paras asid urik yang menjadi punca kepada masalah sakit sendi ‘gout’. Kajian menunjukkan, fruktosa akan mengganggu enzim xanthine oxidase dalam hati yang menyebabkan berlaku peningkatan paras  asid urik dalam darah yang akan menyebabkan masalah sakit sendi ‘gout’.
Satu kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2004, menunjukkan bahawa pengambilan fruktosa dalam makanan dan minuman adalah diantara punca kepada merebaknya masalah obesiti di USA.
Menurut satu laporan , pada tahun 2008, masyarakat di USA mengambil sehingga 10% fruktosa dalam pemakanan seharian mereka setiap hari. Fakta ini seiring dengan masalah pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung yang juga meningkat. Boleh dikatakan pemakanan yang tinggi fruktosa adalah diantara punca peningkatan penyakit-penyakit ini. Di Malaysia masalah yang serupa juga sedang berlaku dan pola penyakit yang sama juga meningkat di Malaysia sekarang ini. Sumber fruktosa yang utama di Malaysia adalah gula pasir dan maltodekstrin dalam makanan dan minuman.
Terdapat kajian yang menunjukkan terdapat beberapa jenis makanan yang tertentu yang boleh melindungi seseorang dari kesan fruktosa ini. Diantara makanan atau suplemen ini adalah halia, teh hijau, spirulina, vitamin B6, ekstrak kopi dan pelbagai jenis anti oksidan seperti anthocyanins (buah berri), quercetin (oren,epal), resveratrol (anggur) dan astraxanthin ( udang, salmon). Jika kita selalu mengamalkan suplemen ini maka kesan sindrom metabolik akibat lebihan fruktosa ini boleh dikurangkan. Pengambilan lebih sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan yang rendah fruktosa adalah digalakkan untuk kesihatan yang lebih baik dan mencegah pelbagai jenis penyakit yang telah dinyatakan diatas, Insyaallah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE


Makanan untuk mencegah jantung tersumbat



Pada tulisan saya dalam artikel saya yang sebelum ini menerangkan tentang makanan yang boleh menyebabkan saluran darah pada jantung tersumbat. Sebagai penyelesaiannya kepada masalah tersebut, maka terdapat juga makanan yang boleh membantu mencegah penyumbatan saluran darah pada jantung akibat mendapan dan plak kolesterol yang berlebihan.

Makanan adalah faktor yang amat penting untuk kesihatan jantung. Makanan yang betul dan sihat boleh mencegah sakit jantung sehingga 80% menurut sesetengah kajian sains. Untuk mencegah mendapan kolesterol pada saluran darah dan mencegah plak kolesterol yang menyumbatkan saluran darah maka beberapa jenis makanan yang saya senaraikan dibawah amat baik untuk diamalkan sebagai sebahagian dari pemakanan seharian kita.

1.      Makanan berserat penuh (Whole Grains)

Makan berserat penuh seperti oat, barli, beras perang, roti perang (wholemeal) bleh mengurangkan risiko saluran darah tersumbat. Makanan berserat penuh mengandungi tiga komponen utama iaitu bran, germ dan endosperm. Bahagian brans dan germ adalah paling berkhasiat kerana mengandungi serat, vitamin, mineral, anti oksidan dan lemak sihat. Bahagian endsperm adalah bahagian yang mengandungi kanji dan protin. Apabila ketiga-tiga lapisan ini berada dalam makanan berkarbohidrat yang kita makan, maka ia dipanggil berserat penuh atau ‘whole grain’.
Kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition (2007) menunjukkan kaitan yang kuat diantara pemakananyang tinggi dengan ‘whole-grain’ dengan kesihatan dinding saluran darah (arteri). Dalam kajian ini ketebalan dinding saluran darah karotid (intimal medial thickness) diukur dikalangan peserta yang makan makanan berserat penuh dan kajian ini menunjukkan risiko atherosclerosis (pemendapan kolesterol pada didnding saluran darah) adalah rendah.
Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Harvard University dalam kajian Nurse’s Health Study wanita yang makan makanan berserat penuh setiap hari didapati mempunyai mempunyai 30% risiko yang lebih rendah mendapat serangan jantung berbanding dengan wanita yang hanya makan kurang dari satu hidangan makanan berserat penuh dalam seminggu.

2.      Walnuts
Kacang walnut adalah sejenis kekacang yang amat berkhasiat untuk kesihatan jantung kerana kandungan omega 3 yang tinggi terutama dari jenis ALA (alpha linolenic acid). Banyak kajian telah membuktikan bahawa omega 3 amat baik menurunkan risiko penyakit jantung.
Dalam satu kajian di Barcelona yang diterbitkan dalam Journal of American College of Cardiology pada tahun 2006 menunjukkan dengan menambahkan walnut dalam makanan yang kaya dengan lemak mencegah kesan negatif lemak tepu keatas saluran darah dan mencegah penyumbatan plak kolesterol dalam saluran darah. Dalam kajian ini , makanan yang diberi juga mengandungi minyak zaitun. Lemak yang terkandung dalam walnut dan juga minyak zaitun didapati boleh mengurangkan kebengkakkan atau inflammasi saluran darah dan mencegah pembentukan plak kolesterol.

3.      Anggur Hitam/Merah
Anggur hitam atau merah didapati boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dengan membantu saluran darah dijantung menjadi longgar dan melancarkan pengaliran darah didalamnya. Kajian terbaru mendapati anggur ini mengandungi sebatian anti oksidan iaitu ‘resveratrol’ terutama dalam biji dan kulitnya.
Anggur juga mengandungi serat yang tinggi pada bahagian kulitnya. Serat juga menyebabkan paras kolesterol turun terutamanya LDL  dan meningkatkan paras kolesterol baik HDL. Kajian di Sepanyol yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Nutrition pada tahun 2008 menunjukkan serat daripada anggur adalah lebih baik daripada serat dari oat dan psyllium untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.
Satu kajian yang dijalankan di University of Wisconsin, USA yang diterbitkan dalan jurnal perubatan Circulation (1999) menunjukkan bahawa dengan makan anggur atau jus anggur setiap hari meningkatkan keanjalan saluran darah dan mengurangkan kadar kolesterol LDL teroksida dan ini akan mengurangkan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah jantung.
Anggur hitam juga mencegah sel darah  platelet daripada  menjadi melekit dan mengurangkan ia menjadi hyperaktif  yang menyebabkan ia melekat pada dinding  dan mencegah pembentukan darah beku yag boleh menyebabkan saluran darah jantung tersumbat. Kajian ini telah dibentangkan persidangan American College of Cardiology, Annual Scientific Session yang ke 46 pada tahun 1997.

4.      Epal
Epal juga mengandungi anti oksidan yang tinggi yang boleh mencegah penyakit jantung. Sebiji epal mengandungi anti oksidan seumpama vitamin C 1500mg. Epal juga mengandungi pelbagai anti oksidan yang lain seperti quercetin, catechin, phloridzin, plyphenol dan chlorogenic acid. Kesemua anti oksidan ini amat baik untuk kesihatan jantung dan boleh mencegah saluran jantung dari tersumbat akibat plak kolesterol sebagaimana yang dilaporkan dalam Nutrition Journal, pada May 2004.
Kajian terbaru yang dibentangkan dalam persidangan perubatan Experimental Biology, 2011 di Washington, USA menunjukkan makan epal setiap hari boleh menurunkan paras LDL kolesterol, C-reactive Protein dan Lipid hydroperoxideyang merupakan penunjuk (markers) untuk kesihatan saluran darah jantung.
Epal juga kaya dengan serat boleh larut yang dinamakan pectinyang membantu menurunkan paras kolesterol.

5.      Teh hijau
Teh hijau adalah minuman yang sangat baik untuk kesihatan jantung dan mencegah saluran jantung tersumbat oleh plak kolesterol. Ia mengandungi sebatian anti oksidan yang amat tinggi yang dipanggil epigallocatechin (EGCG). Sebatian ini didapati amat baik untuk kesihatan jantung dan mencegah serta membalikkan pembentukan plak kolesterol dalam saluran darah jantung kita.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation (May, 2004) merumuskan bahawa EGCG boleh mencegah pembentukan plak kolesterol.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Greece yang diterbitkan dalam Journal of Cardiovascular Prevention and Rehabilitation (June,2008)menunjukkan minum teh hijau akan menambahkan diameter saluran darah sehingga 4% dalam tempoh 30 minit selepas ianya diminum. Ini adalah kerana sebatian flavonoids dalam Teh Hijau meningkat pengaliran darah dengan menyebabkan sel-sel pada dinding saluran darah menjadi relaks dan mudah mengembang.

Terdapat pelbagai makanan dan buah-buahan yang boleh mencegah pembentukan plak kolesterol dan mencegah penyakit jantung. Dalam ruangan yang terhad ini hanya beberapa jenis yang penting dapat saya tulis. Amalkanlah  makanan yang berserat tinggi dan kaya dengan anti oksidan untuk kesihatan jantung yang baik.Insyaallah

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Makanan punca jantung tersumbat

Baru-baru ini seorang rakan saya bertanya saya kenapakah sahabatnya yang berhenti merokok di dapati menghadapi masalah jantung tersumbat. Pertanyaan itu seolah-olah menyatakan bahawa disebabkan berhenti merokok maka jantung akan tersumbat.
Hakikat sebenarnya punca saluran darah di jantung tersumbat adalah kerana pemakanan yang salah. Merokok juga boleh menyebabkan masalah penyakit jantung dan dengan berhenti merokok boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Tetapi ramai perokok yang berhenti merokok memilih untuk makan secara tidak sihat yang akan akhirnya menyebabkan masalah yang sama. Apabila seseorang baru berhenti merokok memang akan berlaku masalah selera makan yang tinggi dan susah dikawal.
Oleh kerana itu, amat penting untuk kita faham tentang jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan saluran darah jantung tersumbat.
1.      Makanan yang kaya dengan gula dan manis adalah diantara punca berlakunya penyumbatan pada saluran darah jantung. Gula yang didalam makanan kita akan membentuk bahan yang dipanggil AGE (Advance Glycation Endproducts) yang boleh menyebabkan masalah inflammasi atau  kebengkakan (inflammation) yang dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan kencing manis.
Gula juga menyebabkan peningkatan paras kolesterol dalam darah yang menyebabkan saluran darah tersumbat akibat kolesterol berlebihan. Gula juga meningkatkan paras kolesterol ‘trigliserida’ yang boleh menjadi punca saluran darah mengalami masalah inflammasi dan pembentukan plak kolesterol dengan lebih cepat dan menyebabkan masalah saluran darah jantung tersumbat.
AGE ini juga menjadi punca kepada masalah atherosclerosis iaitu saluran darah menjadi keras akibat pemendapan kolesterol pada dindingnya. Apabila saluran darah menjadi keras maka ia akan menyebabkan pembentukan ‘plak kolesterol’ yang akan menyebabkan saluran darah menjadi tersumbat. Makanan yang kaya dengan AGE ini adalah makanan yang bergula tinggi dan juga makanan yang digoreng dengan minyak yang panas dan juga makanan digoreng ‘dalam’ (deep frying). Proses ‘grilling’ atau membakar dengan api sehingga berkerak hitam seperti barbeque dan satey juga menghasilkan AGE secara berlebihan. Menurut kajian, secara umumnya makanan yang berprotein tinggi dan berlemak tinggi apabila dimasak dengan suhu yang tinggi akan menghasilkan lebih banyak AGE. Untuk mengurangkan AGE dalam makanan, maka proses masak secara kukus, rebus, sup, masak berkuah (stewed) adalah lebih baik.

2.      Makanan yang digoreng dengan minyak yang banyak dan suhu yang tinggi (deep fried) food adalah diantara makanan yang boleh menyebabkan saluran darah tersumbat. Bukan hanya kerana kandungan AGE yang tinggi tetapi proses menggoreng itu menyebabkan komposisi biokimia makanan itu berubah. Apabila makanan berkolesterol digoreng, maka kolesterol akan bertindak dengan oksigen dalam minyak menghasilkan oxicholesterol iaitu kolesterol yang teroksida. Ianya lebih mudah menyumbatkan saluran darah. Proses menggoreng juga akan meningkatkan radikal bebas dalam makanan tersebut dan menyebabkan kerosakan sel-sel didinding saluran darah yang akhirnya memudahkan pembentukan plak kolesterol yang akan menyumbatkan saluran darah dijantung. 

3.      Makanan yang kaya dengan ‘lemak trans’ yang boleh menyebabkan saluran darah dijantung tersumbat. Menurut kajian Nurses’ Heart Study lemak trans ini lebih merbahaya dari lemak tepu dari haiwan dan ianya meningkatkan risiko sakit jantung dua kali ganda. Contoh makanan yang kaya dengan lemak trans ini adalah marjerin, biskut, jajan, kerepek kentang, popcorn, muffin, kek, pastri, mee segera dan pelbagai lagi makanan proses yang berlambak dipasaran sekarang. Kajian mendapati peningkatan paras kolesterol jahat LDL dalam darah dengan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak trans ini.

Dalam satu kajian oleh Prof Robert Vogel dalam tahun 1997 di University of Maryland School of Medicine menunjukkan makanan segera (Fast Food) seperti berger, hotdog, kentang goreng, ayam goreng, pizza, ‘hash brown’, nugget dan sebagainya juga mengandungi lemak trans ini yang boleh menyebabkan saluran darah dijantung tersumbat.

4.      Makan makanan kaya dengan lemak tepu seperti daging lembu, daging kambing, minyak sapi juga menjadi punca kepada masalah saluran jantung tersumbat. Makan makanan yang mengandungi lemak tepu secara berlebihan akan menyebabkan peningkatan kolesterol LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL. Ia juga menyebabkan berlakunya inflamasi pada dinding saluran darah yang menyebabkan berlaku pemendapan kolesterol disitu yang dipanggil sebagai atherosclerosis yang menyebabkan saluran darah menjadi keras. Proses inflamasi ini akan menyebabkan interaksi kompleks diantara kolesterol LDL, platelet, kalsium dan sel-sel inflammasi berkumpul pada dinding saluran darah dan membentuk ‘plak kolesterol’ dan ini akan menyumbatkan saluran darah tersebut.


5.      Kajian juga mendapati makanan yang tinggi dengan garam sodium atau natrium seperti garam biasa dan serbuk perasa (MSG) juga boleh menyebabkan saluran darah tersumbat. Sodium yang berlebihan akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan ini akan menyebabkan tekanan darah meningkat. Apabila tekanan darah meningkat keadaan ini dipanggil sebagai Darah Tinggi (Hypertension). Seseorang yang mengalami masalah Darah Tinggi lebih mudah mendapat masalah plak kolesterol yang menyumbatkan saluran darah.

Kajian oleh American Heart Association(AHA)  mendapati mengawal penggunaan garam dan mengurangkan risiko saluran darah tersumbat. AHA mencadangkan had limit untuk pengambilan garam  adalah 2400mg sehari sahaja. Makanan segera seperti kentang goreng, ayam goreng, berger, nugget, mee segera dan sebagainya yang ada dalam pasaran sekarang mengandungi kadar garam yang amat tinggi begitu juga makanan kering seperti ikan masin dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, makanan proses, makanan bergoreng, makanan segera, makanan yang mengandungi lemak trans, makanan yang kaya dengan gula dan garam adalah punca kepada masalah kolesterol yang merbahaya dan boleh menyumbat saluran darah jantung.

Dalam artikel saya yang akan datang saya akan menulis berkenaan makanan yang boleh membalikkan proses ini dan membantu melancarkan pengaliran darah dalam saluran darah dijantung.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE