Thursday, June 19, 2014

AIR ZAM-ZAM AIR TERBAIK DI DUNIA!

AIR MINUMAN DAN KESANNYA KEPADA KESIHATAN….
Air adalah sumber kehidupan manusia dan seluruh hidupan dimuka bumi Allah ini. Tanpa air maka tiadalah sebarang kehidupan yang boleh hidup dan berkembang biak. Besarnya peranan air dalam kehidupan didunia tetapi kita selalu lupa bahawa untuk mendapat kesihatan yang baik maka air yang kita minum setiap hari adalah amat penting untuk menentukan kita mendapat kesihatan yang terbaik.
Semua tamadun manusia adalah bermula berdekatan dengan sumber air. Tanpa air tiadalah kehidupan didunia ini. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al An’am ayat 99 :
“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau,............

Semakin manusia tua, maka  kandungan air dalam tubuh manusia semakin berkurangan. Semasa bayi, kandungan air adalah sehingga 75% air dan semakin dewasa kandungan air menurun kepada 57% dari berat tubuh manusia. Bagi seorang yang mengalami masalah kegemukan , kandungan air berkurang sehingga 45%.
Kita kurang membuat pertimbangan kesihatan apabila kita minum air. Kita lebih mudah memilih air yang berperisa dan manis bergula apabila kita minum minuman seperti Teh Tarik, Kopi susu, sirap, kordial, jus dan air bergas. Sesetengah orang tidak suka minum air kosong atau air putih atau air mineral dalam kehidupan seharian mereka. Terdapat juga sesetengah daripada kita yang sangat kurang minum air dalam sehari kerana malas hendak ke tandas untuk ‘buang air’.


Air berkarbonat, minuman jus buah dan minuman botol biasanya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi menjadi minuman harian kebanyakan kita hari ini. Air ini adalah tidak sihat untuk kesihatan kerana ia  boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, kegemukan dan sebagainya.
Minuman ‘bertenaga’ yang banyak terdapat dipasaran juga adalah tidak sihat jika diambil selalu kerana kandungan glukosa yang tinggi disamping kandungan ‘kafein’ yang tinggi juga. Lebih malang lagi jika minuman ini diambil tanpa bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti sukan. Ia akan menyebabkan masalah kesihatan yang buruk di kemudian hari.
Minum terlalu banyak minuman jus buah-buahan juga adalah tidak sihat kerana kandungan gula ‘fruktosa’ yang tinggi tanpa kebaikan serat yang terdapat dalam buah-buahan. Buah-buahan adalah lebih baik dimakan secara terus. Tabiat sebegini akan menyebabkan masalah hati berlemak, kolesterol tinggi, kegemukan dan diabetis dalam jangka masa yang panjang.
Air minuman harian seperti teh dan kopi adalah baik untuk kesihatan kerana kandungan anti oksidannya  selagi  diambil secara sederhana dan tidak berlebihan. Masalah utama adalah kandungan gula yang berlebihan dalam minuman ini apabila di jadikan ‘teh tarik’ atau ‘kopi susu’. Kandungan gula dan susu ini menyebabkan kandungan anti oksidan didalam teh dan kopi akan hilang.
Air yang baik untuk kesihatan juga dipanggil sebagai air berfungsi (functional water). Maksud air berfungsi adalah air yang boleh memberikan kesan kesihatan yang positif. Fungsi utama air dalam tubuh manusia adalah sebagai pelarut, pelincir, pengangkutan zat nutrisi makanan, perkumuhan, mengawal suhu badan dan medium tindakan metabolisme sel-sel. Secara umumnya air berfungsi adalah air yang akan membantu dalam proses biologi tubuh manusia. Air adalah penting untuk kesihatan yang terbaik.
Jumlah air yang diambil juga amat penting, kerana kekurangan air boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Jika tubuh manusia kekurangan air atau dehidrasi,  maka ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang kronik seperti batu karang buah pingang, kanser saluran kencing, kanser usus dan kanser payu dara.



Dalam satu hadis nabi Muhammad SAW , sabdanya:
“Sebaik-baik air dimuka bumi ini adalah air Zam-Zam, terdapat didalamnya zat makanan dan penyembuh bagi segala penyakit”
Berdasarkan hadis diatas , jelaslah air terbaik untuk kesihatan adalah air Zam-zam. Dari segi sains air zam-zam mengandungi kandungan mineral dengan nisbah yang tepat, yang sangat baik untuk kesihatan.
Dengan mengambil kira faktor kandungan mineral ini, maka air yang baik untuk kesihatan adalah air mineral asli. Untuk sumber mineral terbaik kepada tubuh manusia , maka air adalah sumber terbaik. Garam mineral seperti kalsium, magnesium, kalium, chromium, selenium, natrium , zink dan sebagainya amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia yang normal. Menurut kajian, air zam-zam adalah  lebih beralkali dan mempunyai nisbah kandungan mineral magnesium yang tinggi yang amat baik untuk kesihatan.
Sumber semulajadi air beralkali adalah air ‘zam-zam’, air mata air, air cairan glasier, air gunung dan sebagainya. Air mineral yang dibotolkan dari sumber mata air yang asli biasanya sedikit beralkali. Air beralkali adalah air yang mempunyai nilai pH yang lebih dari 7.1 hingga 10.  Air beralkali didapati lebih berkhasiat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang berdasarkan  banyak kajian yang dijalankan terutamanya di negara Jepun, Korea, China dan Russia.
Minum air paip secara terus adalah kurang baik untuk kesihatan kerana kandungan klorin yang tinggi, ampaian, karat besi dan pelbagai jenis logam berat didalam nya. Kita perlu minum air yang ditapis untuk membuang klorin berlebihan dan menapis karat besi dan sebagainya didalam air. Terdapat pelbagai jenis  penapis air yang  dijual dipasaran terpulanglah kepada kita untuk menggunakannya. Penapis air ini biasanya dipasang kepada air paip di singki didapur untuk kegunaan harian seperti air minuman dan masakan. Terdapat kajian yang menunjukkan lebihan klorin yang bercampur dengan bahan organik didalam air paip yang dipanaskan akan menyebabkan penghasilan bahan karsinogen trihalomethane.
Minum air hujan, air sungai, air perigi dan air kolam secara terus tanpa di masak juga adalah bahaya kepada kesihatan kerana ditakuti terdapat kuman yang merbahaya kepada kesihatan didalamnya. Minumlah air yang sihat demi kesihatan yang baik untuk jangka masa yang panjang.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA, FAGE

No comments: