Saturday, August 29, 2015

TIADA KAITAN TELUR DENGAN SAKIT JANTUNG





MAKAN TELUR TIDAK BERKAITAN DENGAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG DAN KOLESTEROL TINGGI

Saya pernah menulis diakhbar ini tentang kaitan telur dengan sakit jantung 2 tahun lepas. Baru-baru ini apa yang saya tulis dua tahun dahulu telah disahkan oleh USDA dalam laporannya tahun 2015 ini. Telur selalu mendapat reputasi yang buruk dan selalu dikaitkan sebagai punca kepada masalah kolesterol tinggi. Kajian terbaru menunjukkan, telur bukanlah punca kepada masalah kolesterol yang tinggi dalam darah.


Dalam tahun 2015, dalam panduan pemakanan di USA melalui 2015 USDA Dietary Guidelines Advisory Committee telah menarik balik gesaan mengurangkan kolesterol dalam makanan seperti telur. Ini kerana terlalu banyak kajian sains telah menunjukkan makan makanan berkolesterol tinggi seperti telur tidak meningkatkan risiko penyakit jantung dan juga tidak meningkatkan paras kolesterol.
Telur sememangnya mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi, tetapi ia tidak menyebabkan kolesterol dalam darah meningkat dengan banyak. Terdapat banyak kajian yang merumuskan bahawa, makan telur adalah baik untuk kesihatan kerana ia mengandungi pelbagai khasiat zat makanan yang tinggi.


Kajian epidemioloji yang mengkaji jumlah populasi yang besar tentang pemakanan dan kesihatan telah mendapati tiada kaitan secara lansung diantara pemakanan telur dan risiko sakit jantung sebagaimana dalam satu kajian  pada tahun 2007  yang dijalankan oleh University of Medicine & Dentistry, New Jersey yang  melibatkan seramai 9734 orang menunjukkan bahawa makan telur tidak meningkatkan risiko strok, sakit jantung koronari apabila seseorang makan lebih dari 6 biji telur seminggu. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa tidak terdapat kaitan diantara pengambilan telur setiap hari dengan penyakit kardiovaskular yang mana ia juga menunjukkan kaitan yang lemah diantara paras kolesterol yang tinggi dengan pengambilan telur.
Satu laporan yang diterbitkan dalam British Medical Journal (BMJ) dalam bulan Januari 2013 daripada laporan oleh sekumpulan saintis  dari Huazhong University of Science and Technology yang menganalisa semula 17 kajian tentang kaitan diantara telur dan kolesterol. Kesimpulan yang diberikan oleh mereka adalah makan telur setiap hari adalah baik  dan tidak berkaitan dengan peningkatan risiko sakit jantung atau stroke kepada seseorang yang sihat. Kajian terbaru ini menunjukkan, saranan untuk mengurangkan pengambilan telur untuk menurunkan paras kolesterol adalah sesuatu yang kurang tepat.



Satu kajian oleh Harvard , USA yang JAMA (Journal of American Medical Association) pada tahun 1999 yang mengkaji kaitan tentang pengambilan telur dan risiko penyakit kardiovaskular. Kajian ini djalankan selama 8 tahun. Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa makan telur setiap hari menyebabkan risiko penyakit jantung dan strok kepada wanita dan lelaki. Kesimpulan ini dibuat selepas membuat semakan dengan faktor-faktor lain seperti umur, tabiat merokok dan lain-lain faktor risiko untuk penyakit jantung dan strok. Ini adalah satu bukti kajian yang cukup kuat untuk menolak kenyataan yang mengaitkan telur sebagai faktor yang menyebabkan masalah kolesterol dan sakit jantung serta strok.







Satu fenomena yang agak menarik adalah jika telur menjadi punca masalah kolesterol dan sakit jantung koronari sudah pasti masyarakat dalam negara-negara yang pengambilan telur paling tinggi akan mendapat masalah sakit jantung tertinggi, tetapi realitinya jauh bertentangan. Ini adalah kerana negara paling tinggi pemakanan tinggi dengan telur adalah Jepun iaitu secara puratanya 328 telur setahun setiap seorang di Jepun dan di ikuti dengan Sepanyol dan Peranchis. Ketiga-tiga negara ini mempunyai kadar penyakit jantung paling rendah dalam dunia.
Pada tahun 1999, Prof Hu dan saintis daripada Harvard School of Public Health telah melaporkan dalam The Journal of the American Medical Association (JAMA) berdasarkan analisis data-data daripada kajian Nurses’ Health Study dan  Health Professionals Follow-Up Study menunjukkan tiada kaitan secara lansung diantara pengambilan telur setiap minggu dengan risiko penyakit jantung dan strok dikalangan lelaki dan wanita. Laporan ini akhirnya membuatkan masyarakat saintis mula menolak kaitan diantara pengambilan telur dan sakit jantung koronari serta paras kolesterol tinggi dan ianya akhirnya diterima oleh USDA pada tahun ini.


Data kajian daripada beberapa kajian yang besar telah menunjukkan bahawa kolesterol dalam pemakanan tidak berkaitan dengan paras kolesterol darah dan juga insiden penyakit jantung koronari. Diantara kajian-kajian tersebut adalah Framingham Heart Study, Multiple Risk Factor Intervention Study (MRFIT), Lipid Research Clinics Prevalence Trial, Alpha-Tocopherol, Beta Carotene Cancer Prevention Study, Nurses’ Health Study, The Health Professionals Follow-Up Study
Anda perlu makan secara sihat dengan makanan berserat tinggi, makan sayur-sayuran, buah-buahan, kurangkan gula dan makan ikan . Dengan tabiat pemakanan seperti ini, maka anda boleh makan telur setiap hari sebagai salah satu menu makanan sihat anda. Pemakanan sihat dan berseimbang masih perlu diamalkan untuk memastikan kolesterol anda terkawal dan risiko mendapat penyakit jantung, strok, darah tinggi dan kencing manis dikurangkan.



Telur amat berkhasiat dan perlu dimasukkan dalam pemakanan sihat seharian kita terutama dikalangan kanak-kanak, orang tua dan pesakit-pesakit kronik. Ini juga kerana faktor harganya yang murah dan mudah didapati dan ianya dapat membekalkan protin yang sihat disamping zat-zat lain yang sangat penting untuk kesihatan.Kandungan telur yang sihat dan amat baik untuk kesihatan adalah protin dalam telur adalah protin lengkap dan mudah dihadamkan. Asid aminonya adalah dalam nisbah yang terbaik dan ia juga rendah kalori. Kuning telur mengandungi choline yang baik untuk kesihatan saraf otak dan pertumbuhan otak bayi yang sihat. Kandungan lutein dan zeaxanthin iaitu sejenis anti oksidan yang tinggi dalam kuning telur yang lebih mudah diserap oleh usus kerana kandungan lemak dalam telur yang lebih tinggi. Ia penting untuk kesihatan mata dengan mencegah masalah katarak dan degenerasi makular yang boleh mengakibatkan masalah buta. Kandungan vitamin D yang tinggi dalam telur juga amat baik untuk tulang yang kuat dan sihat kerana ia membantu penyerapan kalsium dari usus. Ia juga penting untuk kesihatan usus dan membantu mengawal berat badan. Lain-lain vitamin yang tinggi dalam telur adalah vitamin B2 ( Riboflavin), asid folik dan vitamin B12.


Kesimpulannya, makan telur secara sederhana adalah tabiat pemakanan yang sihat. Ia boleh membantu membekalkan vitamin dan zat-zat protin yang diperlukan oleh badan manusia. Makan telur setiap hari juga tidak akan meningkatkan paras kolesterol dan malahan ia tidak meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Makan telur juga boleh membantu mengawal berat badan dengan lebih baik.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Saturday, August 15, 2015

KHASIAT MINYAK ZAITUN UNTUK KESIHATAN


Pemakanan sihat adalah kunci kepada kesihatan yang baik. Pemahaman tentang makanan sihat amat penting untuk kita menjaga kesihatan sehingga akhir hayat. Pengetahuan tentang  lemak atau minyak sihat amat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak adalah tidak sihat.  Sejak 50 tahun dahulu, kajian sains, menunjukkan diantara minyak yang amat sihat untuk kesihatan kita adalah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun (olea europaea) yang banyak digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar yang disapu pada kulit.

Salah satu makanan sunnah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan penggunaan minyak zaitun, kerana khasiatnya yang amat besar, dikeluarkan dari pohon zaitun yang diberkati. Allah telah bersumpah dengan buah zaitun dan buah tin didalam Surah At-Tin ayat 1 menunjukkan buah zaitun ini adalah satu buah yang hebat dan mempunyai khasiat kesihatan yang amat tinggi.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 11 : “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati." (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).
Kajian saintifik telah membuktikan khasiat kesihatan minyak zaitun ini dan ia adalah bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik amat menyihatkan. Minyak zaitun terutamanya mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA)  yang menyihatkan, disamping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk omega 3 dan omega 6. Minyak zaitun juga  mengandungi bahan anti oksidan  iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin. Ia juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
Kajian sains menunjukkan penduduk di Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding penduduk di Amerika Utara dan Utara Eropah. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research tahun 2007 berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan oleh Prof. Maria Covas di Sepanyol menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun secara kerap akan mempunyai risiko yang lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular iaitu penyakit jantung, darah tinggi, strok, kolesterol tinggi. Kajian ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari dan penyumbatan saluran darah (thrombosis).

Kajian lain yang dijalankan  di  National Institute of Health and Medical Research (INSERM) di Bordeaux, Peranchis menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari mampu mencegah angin ahmar atau strok. Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada tahun 2011 yang menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41%  risiko yang lebih rendah mendapat strok berbanding dengan seseorang yang tidak mengambil minyak zaitun.
Satu lagi kajian yang menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga boleh mencegah kanser payudara. Satu pasukan ahli sains daripada Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol melaporkan dalam tahun 2010. Pengkaji ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel-sel kanser payudara secara spontan. Kajian ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan omega 6 mempunyai kesan yang bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu pengambilan minyak zaitun ini boleh kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit yang merbahaya ini.

Dalam satu kajian oleh ahli sains daripada Jepun yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Medical Science Monitor tahun 2004 menunjukkan pengambilan minyak zaitun kepada 28 pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi selama enam minggu akan membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan meningkat kolesterol HDL. Saintis berpendapat kesan ini adalah kerana kandungan asid oleic (MUFA), phenol dan vitamin E didalam minyak zaitun ini.

Terdapat juga kajian yang diterbitkan dalam British Medical Journal pada tahun 2012 menunjukkan pemakanan dengan mengoreng menggunakan minyak zaitun dan minyak bunga matahari tidak meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung. Kajian ini melibatkan 40,000 orang peserta yang dijalankan oleh University Madrid di Sepanyol. Walaupun menggoreng menggunakan minyak zaitun akan mengurangkan khasiatnya, tetapi ianya tetap memberikan manfaat dengan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung. 
Kajian yang khusus tentang penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah penyakit ini kerana kandungan bahan ‘oleocanthal’ didalamnya. Bahan oleocanthal ini membantu mengeluarkan protein beta-amyloid yang tidak normal daripada otak seseorang. Kajian ini menunjukkan penyakit Alzheimer ini mempunyai kadar yang rendah dikalangan penduduk di kawasan Mediterranean berbanding dengan wilayah lain diseluruh dunia. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan Chemical Neuroscience pada tahun 2013.

Terdapat pelbagai lagi kajian-kajian saintifik yang dijalankan diseluruh dunia yang menunjukkan kelebihan penggunaan minyak zaitun ini mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).
Kita boleh mengamalkan minyak zaitun ini dalam pemakanan seharian kita sebagai satu makanan kesihatan atau diambil sebagai suplemen  harian untuk membantu kita mencegah pelbagai penyakit kronik. Niatkan pengambilan minyak zaitun ini sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW mudah-mudahan kita mendapat keberkatan, Insyaallah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE (MAHE)


Tuesday, July 28, 2015

KESILAPAN JAGA BERAT BADAN




Mengurangkan berat badan secara sihat
Musim  Hari Raya Aidilfitri telah bermula setelah sebulan kita berpuasa maka kita raikan Aidilfitri dengan pelbagai program seperti rumah terbuka dan ziarah-menziarahi. Budaya masyarakat kita ini ada banyak kelebihannya mengeratkan silaturrahim dan kemesraan sesama kita adalah sesuatu yang dipuji. Janganlah kita menambahkan berat badan yang telah berjaya kita kurangkan dalam Ramadhan yang lepas dengan makan secara berlebihan.


Dalam kita merayakan Aidilfitri , kita perlu berjaga-jaga agar kesihatan kita terus terpelihara dan berat badan kita tidak bertambah dengan mendadak dan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada kesihatan kita. Apabila kita mula mendapat masalah berat badan yang berlebihan selalunya kita akan memilih kaedah untuk menurunkan berat badan dengan cara yang salah iaitu dengan ber’diet’ meninggalkan makan atau mengurangkan jumlah makanan secara mendadak. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan kita. Diantara kesilapan-kesilapan yang selalu dilakukan oleh orang ramai adalah:


Ber’diet’  secara melampau.
Walaupun terlebih makan adalah diantara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan.  Jika anda berlapar terlalu kerap , maka badan anda akan berubah kepada ‘mode kebuluran’ (starvation mode). Metabolisma badan akan turun, dan segala yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai ‘lemak’ dan ‘otot’ and menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ yang melampau seperti ini, maka anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah-tambah dan semuanya akan menjadi lemak. Berat badan anda akan bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya.  Akhirnya , anda berdiet semula, dan kitaran ini akan berterusan dan anda akan gagal menurunkan berat badan anda.


Menurunkan berat badan hanya dengan bersenam
Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan yang dimakan akan menyebabkan berat badan amat susah diturunkan malahan berat badan akan bertambah. Ini adalah kerana ramai orang yang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang telah dibakar maka tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil. Tidak semua kalori adalah sama. Terdapat sesetangah makanan yang berkalori tinggi tetapi ia membantu menurunkan berat badan seperti minyak zaitun dan minyak kelapa. Terdapat juga makanan yang rendah kalorinya, tetapi ia menyebabkan berat badan susah untuk diturunkan seperli gula pasir. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara maksimum, maka jenis makanan yang dimakan dan jumlah pemakanan seharian masih perlu di kawal jumlahnya walaupun anda bersenam. Elakkan makanan atau minuman bergula tinggi walaupun kita bersenam kerana ia akan menyebabkan berat badan susah ntuk turun.





Makan produk yang ‘rendah lemak’
Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan produk-produk ini baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya  produk-produk ini sebenarnya mempunyai kandungan gula yang tinggi yang boleh menyebabkan berat badan bertambah. Pengeluar produk-produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka dan tetapi mereka akan menambah kandungan gula untuk membuatkan produk-produk ini lebih sedap.Kajian sains mendapati  sesetengah lemak adalah ebih sihat dan membantu menurunkan berat badan seperti lemak mono tak tepu(MUFA)  daripada kekacang, avocado, minyak zaitun dan lemak omega 3 dari ikan amat baik untuk menurunkan berat badan.  Kajian juga mendapati minyak kelapa yang kaya dengan rantaian trigliserida sederhana (Medium Chain Triglycerides, MCT) juga boeh membantu menurunkan berat badan dengan membekalkan tenaga segera tanpa meningkatkan paras insulin.



Minum minuman ‘diet’ .
Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ yang di tambah pemanis gantian tiruan seperti ‘aspartame’ akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, USA mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ akan menghadapi  sehingga 70% peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian yang sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41% untuk penggemar minuman ‘diet’ ini. Menurut pakar pemakanan , fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut telah penuh. Jika mengambil pemanis gantian hendaklah kita ambil selepas makan sesuatu yang berkalori untuk mengelakkan masalah selera bertambah. Minum  air mineral adalah lebih baik untuk menurunkan berat badan.



Terlalu cepat berputus asa
Jika anda gagal untuk  kali pertama dalam percubaan menurunkan berat badan janganlah terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya mencuba untuk menurunkan berat badan akan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan sedikitpun berat badannya. Buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet” adalah diantara buku yang boleh anda baca untuk mendapat maklumat yang tepat untuk menurunkan berat badan dengan cepat dan sihat, dapatkan dari saya dengan email: drnormanmlk@yahoo.com.my



Jadikanlah matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan yang sebenarnya.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, FAGE, MScAAARM


Wednesday, July 22, 2015

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1436H / 2015M....MAAF ZAHIR & BATIN..

Semoga ALLAH menerima amalan kita dalam bulan Ramadhan yang lepas dan diberkati kehidupan kita hingga ke akhir hayat...
Amiinn Yaa Rabbal A'laminn



Daripada :

Dr Norman Mohd Norawi
Dr Suhaila Osman 
Sekeluarga..

ELAKKAN MARJERIN DALAM PEMAKANAN KITA



Hariraya Aidilfitri menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Semua umat Islam di Malaysia sudah pasti amat sibuk dengan persediaan untuk berhariraya. Di antara persediaan utama yang disediakan untuk Hari Raya adalah kuih raya atau biskut raya. Kebanyakan dari kita hari ini lebih suka untuk membeli sahaja kuih raya ini kerana faktor kesuntukan masa dan ianya memudahkan.


Tahukah kita kebanyakan kuih raya atau biskut raya ini disediakan menggunakan marjerin sebagai salah satu ramuannya. Marjerin telah menjadi suatu yang amat sinonim dengan kuih raya sehingga kita amat mudah mengingati nama-nama jenama marjerin yang tertentu yang dikaitkan dengan kuih raya.
Marjerin sebenarnya adalah lemak tepu sintetik yang dihasilkan melalui proses ‘hidrogenasi’ minyak masak. Dalam proses ini atom hidrogen ditambahkan kepada minyak masak cecair dan ianya akan bertukar menjadi lebih keras. Proses ini akan menyebabkan minyak ini menjadi beku dan lebih mudah disimpan serta tahan lebih lama. Proses hidrogenasi ini akan menyebabkan molekul minyak  tersebut berubah kepada bahan yang dipanggil sebagai ‘ Asid Lemak Trans’ (Trans Fatty Acids). Menurut kajian di USA, 40% sumber  asid lemak trans dalam pemakanan adalah dari makanan proses seperti biskut, kek, kerepek, pai dan roti manakala 17% adalah daripada penggunaan marjerin.


Kajian terkini menunjukkan   bahan yang mengandungi asid lemak trans ini mempunyai risiko yang tinggi kepada kesihatan kerana ianya mempunyai kaitan yang sangat kuat kepada masalah keradangan atau inflammasi saluran darah, kolesterol tinggi, sakit jantung koronari, stroke, diabetis, kanser, darah tinggi dan sebagainya.


Diantara kajian yang popular yang dipanggil Nurse’s Health Study menunjukkan wanita yang mengambil lebih banyak asid lemak trans dalam pemakanan seharian mereka mempunyai risiko 50% lebih tinggi mendapat serangan jantung. Pengkaji di Harvard Universiti membuat rumusan bahawa seseorang yang meninggalkan pengambilan asid lemak trans akan menurunkan risiko mendapat diabetis sehingga 40% lebih rendah berbanding dengan seseorang yang terus mengambil asid lemak trans dalam pemakanan mereka.
Kajian sains telah membuktikan bahawa  pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans menyebabkan  masalah atherosklerosis’ iaitu saluran darah dijantung tersumbat kerana berlaku pengumpulan kolesterol didinding saluran darah koronari kerana saluran darah tersebut mengalami masalah keradangan atau inflamasi.


Kajian juga menunjukkan pengambilan trans fat menyebabkan  paras kolesterol  LDL dan trigliserida meningkat dan merendahkan paras kolesterol  HDL. Oleh kerana itu ianya juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, stroke dan diabetis. Kajian juga menunjukkan asid lemak trans ini adalah jauh lebih merbahaya kepada kesihatan daripada lemak tepu dari sumber haiwan dan sumber tumbuhan seperti minyak kelapa.


Dalam zaman sekarang, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mee segera, biskut, pizza, kuih-muih, kek , pastri, kerepek, donut, kentang goreng, jajan dan sebagainya. Kebanyakan makanan-makanan ini menggunakan marjerin atau ‘shortening’. 
Makanan segera seperti ‘berger’ yang dijual  ditepi jalan atau direstoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin. Minyak yang kaya dengan asid lemak tak tepu (PUFA) seperti  masak sayuran (soya, bunga matahari, jagung) yang dipanaskan dengan suhu yang tinggi juga akan berubah menjadi asid lemak trans apabila digunakan dalam gorengan ‘dalam’ (deep frying) . Disamping itu  juga,  makanan segera banyak menggunakan bahan perasa dan bahan pengawet. Kurangkanlah pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah sakit jantung dan penyakit kronik yang lain.


Alternatif yang lebih sihat adalah penggunaan minyak yang lebih sihat seperti minyak zaitun, santan, minyak kelapa dan juga minyak kelapa sawit. Oleh kerana itu boleh dikatakan makanan atau kuih raya yang menggunakan santan dalam ramuannya seperti dodol, wajik, lemang dan rendang adalah lebih sihat kerana ianya mengandungi minyak kelapa atau santan. Kajian terkini membuktikan bahawa santan kelapa atau minyak kelapa bukanlah punca kepada masalah kolesterol atau sakit jantung malahan ianya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung ini. 
Asid lemak trans juga terdapat didalam krimer atau ‘susu krimer’ yang amat popular di Malaysia dalam minuman seperti teh tarik. Pengambilan minuman seperti ini tidak sihat kerana kandungan asid lemak trans nya dan juga kerana gulanya yang sangat tinggi. Oleh kerana kesedaran daripada pengguna yang semakin meningkat, industri makanan telah mengeluarkan pelbagai produk tanpa asid lemak trans  yang di label sebagai ‘tanpa asid lemak trans’. Sekarang terdapat juga produk marjerin yang bebas asid lemak trans dipasaran.  Jika anda masih mahu menggunakannya, maka pilih lah produk seperti ini yang lebih selamat.



Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya dan perhatikan perkataan seperti “minyak sayuran terhidrogenasi” atau‘ hydrogenated vegetable oils’  atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak ‘trans’ yang terkandung dalam makanan tersebut. Terdapat sesetengah pengeluar makanan telah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’  dan melabelnya sebagai makanan sihat.


Jagalah pemakanan anak-anak anda dan keluarga anda dengan tidak mengambil makanan yang mengandungi asid lemak trans dalam musim perayaan ini dan juga seterusnya dalam seluruh kehidupan kita untuk kesihatan yang lebih baik. Insyaallah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE


PANDUAN PEMAKANAN SEMASA BERPUASA RAMADHAN



Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah dan bulan ujian untuk semua umat Islam. Kesabaran kita diuji dengan menahan lapar, dahaga, menjaga mata,  hati dan lidah kita dari perkara-perkara yang merosakkan pahala berpuasa. Dalam kita berpuasa ini kita akan mendapat faedah kesihatan yang amat baik jika kita mengikut kaedah berpuasa yang sebenarnya dengan makan secara betul dan sihat. Pemakanan yang salah dan tidak sihat akan menyebabkan kita tidak mendapat faedah yang maksimum dalam proses kita berpuasa ini.
Bagaimanakah pemakanan yang sihat patut diamalkan dalam bulan Ramadhan ini. Terdapat beberapa panduan umum yang boleh kita ikuti dan jadikan panduan semasa berbuka dan bersahur dan juga makan diantara waktu keduanya.


Semasa berbuka perkara yang utama adalah mengawal jumlah pemakanan yang kita ambil. Kita perlu mengikut sunnah Rasulullah SAW iaitu dengan berbuka dahulu dengan beberapa biji buah kurma dan minum air kosong. Kajian-kajian saintifik terkini menunjukkan buah kurma sememangnya mempunyai banyak kelebihan dari aspek kesihatan. Buah kurma amat kaya dengan serat, vitamin, mineral, anti oksidan, anti keradangan dan anti bakteria. Kandungan khasiat pemakanan yang tinggi dalam buah kurma ini amat baik untuk mencegah pelbagai jenis penyakit dan mengekalkan kesihatan yang optimum.


Kurma kaya dengan bahan sebatian fenolik anti oksidan seperti pro-cyaanidin, tannins,coumaric, ferulic, sinapic dan  flavonoids seperti beta karotin, lutein dan zeaxantine. Semua sebatian anti oksidan ini mampu melawan kesan radikal bebas dan boleh mencegah kanser. Bahan flavonoids ini juga boleh meningkatkan imuniti, melawan kesan keradangan dan mencegah mutasi sel. Kurma juga mempunyai zat besi yang tinggi dan boleh mencegah masalah anemia. Kurma mempunyai kandungan mineral kalium yang tinggi dan ia amat baik mengawal tekanan darah tinggi. Disamping itu ia juga mengandungi mineral lain seperti magnesium, kalsium, manganese dan kuprum yang amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia.
Buah kurma juga mempunyai indeks glisemik yang sangat tinggi oleh itu ia amat cepat meningkatkan paras glukosa dalam darah. Ini amat baik kerana setelah seharian berpuasa paras glukosa dalam darah kita telah turun ke tahap yang sangat rendah menjelang waktu berbuka. Dengan makan makanan berglisemik indeks tinggi, kita dapat memulihkan tenaga kita dengan sangat cepat dan mengurangkan rasa lapar dengan segera. Kelebihan ini boleh kita manfaatkan untuk mengurangkan jumlah makanan yang kita makan semasa berbuka. Selepas berbuka dengan kurma dan air tadi, kita perlu menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu dan hanya selepas itu kita menjamah makanan yang lebih berat secara sederhana. Selera kita akan mula berkurangan selepas solat maghrib tadi kerana paras glukosa darah telah mula naik kerana pengambilan kurma sebelumnya. Disinilah hikmahnya kita mengikut sunnah Rasulullah SAW kerana kaedah ini akan mencegah kita daripada makan berlebihan semasa berbuka.



Jika kita tidak dapat makan kurma kita boleh memilih buah-buahan yang lain atau makanan manis yang  lain seperti kuih muih untuk menggantikan kurma tadi dan ini bersesuaian dengan saranan Rasulullah SAW. Kita tidak digalakkan makan terus makanan yang berat semasa berbuka kerana ini akan menyebabkan kita makan secara berlebihan kerana isyarat ‘kenyang’ mengambil masa lebihkurang 20 minit untuk sampai ke otak. Oleh itu kita cenderung untuk makan secara berlebihan semasa berbuka. Apabila telah kekenyangan kita akan ‘tersandar’ dan merasa cukup malas untuk bergerak dan ini akan menggganggu ibadah solat kita seterusnya. Sedangkan kita perlu memperbanyakkan ibadah semasa bulan Ramadhan ini. Inilah cabarannya semasa berbuka yang perlu kita hadapi untuk mendapat pahala yang penuh dan keberkatan dari Allah SWT.


Kita juga perlu minum secukupnya semasa Ramadhan ini untuk mengelakkan masalah dehidrasi semasa berpuasa. Minumlah air mineral atau air kosong secukupnya dan kurangkan minuman bergula tinggi. Minumlah lapan gelas air sepanjang malam dari waktu berbuka hingga ke waktu sahur setiap hari. Elakkan minuman manis seperti teh tarik atau minuman berkarbonat kerana ia mengandungi gula yang sangat tinggi dan juga ia boleh menyebabkan kita mengalami masalah dehidrasi semasa berpuasa keesokkannya. Semasa bersahur minumlah sekurang-kurangnya dua gelas air mineral.


Semasa bersahur keutamaan kita adalah untuk makan makanan yang boleh membekalkan tenaga dengan lebih lama untuk berpuasa disiang harinya. Oleh itu pilihan kita adalah makan lebih makanan berserat tinggi seperti beras perang, oat, roti serat penuh. Jika kita memilih untuk makan nasi putih, maka kita boleh mendapatkan serat tambahan dengan makan lebih sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan. Makan lauk yang dimasak dengan santan juga adalah baik kerana kajian menunjukkan lemak atau minyak kelapa atau santan kelapa adalah lemak yang sangat sihat. Makan makanan yang bergoreng dan bergaram tinggi tidak digalakkan. Elakkan meningggalkan bersahur kerana ia adalah makan yang amat penting semasa berpuasa dan ia mempunyai keberkatannya yang dijanjikan. Sahurlah diwaktu yang dekat dengan waktu subuh dan bukannya ditengah malam.


Jika kita ingin makan moreh atau makan diwaktu malam sebelum tidur, maka janganlah berlebih-lebihan atau makan makanan yang berat . Pilihlah buah-buahan dan kekacang yang lebih sihat. Jika kita memilih untuk makan kuih-muih maka kita perlu makan sedikit sahaja.

Utamakanlah beribadah secara maksimum semasa Ramadhan ini dengan bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan bersedekah sebanyak-banyaknya mengikut kemampuan kita, Insyallah kita akan menjadi muslim yang cemerlang selepas Ramadhan ini dan Insyaallah lebih sihat dan cergas. Wallahualam.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Saturday, June 20, 2015

PUASA TINGKAT IMUNITI TUBUH



KELEBIHAN KESIHATAN DENGAN BERPUASA

Kita akan menyambut Ramadhan Al Mubarak tidak berapa lama lagi, Insyaallah. Ibadah puasa  yang merupakan rukun Islam ketiga adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh semua umat Islam kecuali atas beberapa pengecualian yang tertentu. Puasa kita laksanakan untuk mendapat taqwa kepada Allah. Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 183 :
Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu  berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”.


Puasa mempunyai banyak hikmah disudut kesihatan yang perlu kita fahami dan kita yakini kerana syariat Allah adalah suatu yang membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya.


Kajian sains telah menunjukkan dengan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan. Puasa memberikan kesan positif kepada kesihatan psikologi dan fizikal. Puasa yang betul akan membantu kita menurunkan berat badan. Puasa juga membantu sistem pencernaan untuk  penghadaman lebih sempurna dengan memberi kerehatan kepada sistem pencernaan semasa kita berpuasa. Kajian juga mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stress yang tinggi dengan memberi ketenangan psikologi dan bersabar. Dengan memfokuskan kepada ibadah dan juga memperbanyakkan membaca Al Quran maka kadar stres dan tekanan akan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya. Dengan datangnya Ramadhan ini, seharusnya kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.
Berpuasa juga didapati boleh membantu mengawal masalah kolesterol  berlebihan. Kajian oleh pakar jantung di Timur Tengah mendapati semasa bulan Ramadhan, paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik dengan peningkatan paras kolesterol baik HDL dan penurunan paras kolesterol LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung.



Pesakit diabetis akan mendapat kelebihan dengan paras glukosa darah yang lebih terkawal dengan berpuasa.Pesakit diabetis perlu berjumpa dengan doktor dan mendapatkan nasihat yang tepat bagaimana untuk mengubah jadual penggunaan ubat mereka semasa bulan Ramadhan untuk mengelakkan masalah kekurangan glukosa dalam darah yang drastik iaitu ‘hypoglycemia’ . Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik untuk pesakit diabetis jenis 2.


Pada tahun 1994, Persidangan  Antarabangsa kali pertama untuk Kesihatan dan Ramadhan di Casablanca, Maghribi yang telah membentangkan 50 kertas kajian oleh pakar-pakar dari seluruh dunia tentang kelebihan berpuasa kepada kesihatan.Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa berpuasa amat baik untuk kesihatan dan kesejahteraan umum tubuh manusia dan juga didapati tiada satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan.  Walaubagaimanapun , pesakit yang mengidap penyakit kronik yang teruk seperti sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.
Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun. Dengan mengawal pemakanan dalam bulan Ramadhan, sel-sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus dan bertenaga. Oleh itu amat perlu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadhan ini.


Dalam satu kajian terbaru yang dibuat di University of Southern California menunjukkan berpuasa selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia dengan penghasilan sel-sel darah putih yang baharu daripada sel-sel ‘stem hemopoietic’. Oleh itu ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh manusia terutama pesakit yang mengalamii masalah sistem imuniti yang rendah. 
Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Bulan Ramadhan juga adalah bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual dan kehendak-kehendak lain. Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik jika dilakukan dengan sempurna.
Makanan semasa berbuka perlu dikawal jumlahnya dan jenisnya. Jangan terlalu berat semasa berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang di suruh oleh Rasulullah iaitu dengan makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu. Selepas solat maghrib dan barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan makan sayur-sayuran  serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan juga air berkarbonat semasa berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan dikemudian hari.


Ambillah peluang di bulan Ramadhan ini untuk menjaga makanan yang kita makan dan bukannya kita makan sebanyak-banyaknya semasa berbuka hingga tersandar kekenyangan dan malas untuk bersolat. Budaya kita di Malaysia dengan pasar Ramadhan dimana-mana menyumbang kepada masalah makan berlebih-lebihan semasa berbuka. Ini adalah kerana kita akan membeli makanan di pasar Ramadhan semasa perut sedang lapar dan kita cenderung untuk membeli makanan secara berlebih-lebihan. Apabila berbuka kita selalunya tidak habis dan akan membazir makanan. Budaya ini perlu kita kawal dengan masak sendiri dirumah. Berhemah dan berkira-kira semasa membeli makanan dipasar Ramadhan dan janganlah membazir. Sepatutnya berat badan kita akan menurun semasa bulan Ramadhan tetapi malangnya ramai yang mengalami masalah berat badan bertambah.


Rahsia kesihatan dalam puasa Ramadhan adalah bersahur. Bersahur juga membezakan puasa orang Islam dengan puasa agama lain. Dengan bersahur sempurna ia akan membekalkan tenaga yang secukupnya untuk kita berpuasa hingga matahari terbenam. Jangan tinggalkan bersahur kerana jika kita tidak bersahur kita akan terlalu letih dan cenderung untuk makan berlebih-lebihan semasa berbuka. Makanlah makanan yang sihat  dan berserat tinggi semasa bersahur. Lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran serta lauk-lauk berprotin tinggi semasa bersahur. Sahur juga adalah suatu tuntutan yang amat-amat digalakkan hingga ada ulama berpendapat ianya hampir wajib.


Di bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat baik bagi perokok berhenti dari tabiat merokok yang merosakkan kesihatan. Jika seseorang boleh bertahan tidak merokok semasa berpuasa teruskanlah tidak merokok sepanjang malam. Tumpukan perhatian kita kepada ibadah serta dapatkanlah kelebihan bulan Ramadhan semaksimum yang mungkin dan lupakanlah rokok. Sia-sialah jika kita berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan rokok yang tidak putus-putus kita hisap hingga mengganggu orang lain untuk beribadah di masjid dan surau.
Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadhan ini kita menumpukan kepada ibadah dan secara tidak lansung  kita mendapat kesihatan yang baik dengan berpuasa. InsyaAllah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA (UCSI), FAGE